Wednesday 28 February 2018

Isu boikot peniaga soal kepenggunaan, bukan perkauman

Oleh Mior Kamarul Shahid
miorkamarul@gmail.com

Walaupun pengguna boleh menerima alasan kenaikan harga barang berpunca daripada kenaikan bahan api, mereka tentu berharap peniaga menurunkan harga sejajar penurunan harga bahan api berkenaan. Ia menggambarkan seolah-olah kuasa untuk menaik dan menurunkan harga hanya terletak di tangan peniaga.

Peniaga ambil kesempatan

Bagi pengguna, tindakan peniaga berkenaan menunjukkan mereka tidak ikhlas terhadap pengguna dan hanya mahu mengambil kesempatan daripada semua keadaan. Ketika harga petrol naik, mereka untung, ketika harga jatuh pun, mereka untung.

Sebaliknya, kerajaan yang menjadi sasaran dan dipersalahkan oleh pengguna sehinggakan pada pilihan raya, harga barang menjadi isu politik. Pihak penguat kuasa juga menjadi sasaran kerana dianggap tidak bertindak tegas terhadap peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga.



Ada juga yang membuat andaian bahawa pihak penguat kuasa mempunyai muslihat untuk tidak bertindak tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga ketika harga runcit petrol naik atau tidak menurunkan harga barang ketika harganya jatuh. Maka, timbullah andaian kononnya pegawai penguatkuasaan mendapat habuan masing-masing dan melindungi peniaga terbabit.

Pengguna menganggap ini adalah tindakan yang tidak adil terhadap mereka. Pengguna bukan terbatas kepada orang Melayu sahaja. Orang Cina, India, Sikh dan semua kaum di negara ini adalah pengguna. Malah, peniaga juga adalah pengguna. Mereka pasti tahu kesan kenaikan harga kerana mereka juga perlu membeli barang keperluan.

Bukanlah mudah untuk mengajak pengguna memboikot barang keperluan kerana cita rasa pengguna adalah berbeza. Pengguna yang mampu tidak akan melayan sebarang idea untuk memulaukan barangan ini. Mereka akan menggunakan apa juga barang kerana mempunyai keperluan dan mampu membelinya walaupun dipulaukan oleh pengguna lain.

Tindakan memulau barangan bukan pertama kali dilakukan di negara ini. Ketika rakyat marah terhadap tindakan zionis dan keluaran negara tertentu, gerakan memboikot keluaran Yahudi dan negara berkenaan pernah dilancarkan di negara ini tetapi separuh jalan. Ketika harga ayam naik, ramai pengguna mengelak daripada membeli ayam tetapi hanya bertahan beberapa hari.

Untuk memastikan keberkesanan boikot, jika perlu, setiap pengguna, tanpa mengira kaum dan agama, mesti bersikap terbuka kerana sasaran mereka adalah peniaga yang juga mewakili pelbagai kaum. Jika peniaga tidak mahu terjejas, mereka perlu fikirkan untuk menurunkan harga.

E-mel ke rencana@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda

Artikel Sumber :BH Online

No comments:

Post a Comment