Bahagian Penguatkuasa KPDNKK akan mempergiatkan lagi pemeriksaan ke atas premis yang menjual barang tiruan khususnya di Kuala Lumpur.
KUALA PILAH: Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mempergiatkan lagi pemeriksaan ke atas premis yang menjual barang tiruan khususnya di Kuala Lumpur.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata walaupun Kuala Lumpur diberi pengkhususan, namun negeri-negeri lain yang dikesan banyak menjual barang tiruan akan turut digempur.
"Walaupun penguatkuasaan sering dilakukan, namun untuk membanteras kegiatan barang tiruan mestilah bermula daripada pengguna sendiri. Jika tidak ada permintaan, tidak akan ada penawaran atau sindiket yang beroperasi.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membuat aduan kepada KPDNKK, sama ada mengenai barang tiruan, pencatutan atau alat timbang. Aduan-aduan yang diterima terbukti berhasil ekoran tindakan yang kami jalankan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ihya Ramadan Parlimen Kuala Pilah di Masjid Kampung Kuala Jemapoh, Selasa.
Hasan turut menasihatkan pemilik cap dagangan supaya tampil membantu pihak berkuasa dalam mengesan barang-barang tiruan di pasaran yang memakai jenama mereka.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah berharap pemilik cap dagangan, terutama yang telah berdaftar dengan KPDNKK di bawah 'Basket of Brand' (BoB) yang kini berjumlah 313 jenama dapat membantu dalam soal membanteras barang-barang tiruan di pasaran.
"Pengguna harus percaya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes-kes yang berkaitan penipuan dan penyelewengan kerana ada pelbagai akta yang boleh digunakan untuk mendakwa peniaga yang didapati menyalahi peraturan dan undang-undang," katanya.
Sementara itu, katanya dari Januari hingga 14 Julai lepas sebanyak 782 pemeriksaan premis telah dijalankan di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.
Katanya jumlah kes yang direkodkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 untuk tempoh Januari hingga Julai lepas ialah 1,088 dengan nilai rampasan sebanyak RM13.35 juta.
"Bagi kes yang melibatkan telefon bimbit dan aksesori di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebanyak tujuh tindakan kes mengenai aksesori telefon bimbit dan enam kes mengenai telefon bimbit dilakukan setakat ini (2015) dengan nilai rampasannya pula berjumlah RM65,861," katanya.
Katanya pada tahun 2014, sebanyak 5,515 pemeriksaan premis dilakukan di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur dan ia melibatkan gerak gempur cetak rompak dan gerak gempur barang tiruan.
Katanya jumlah kes yang dihasilkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada tahun 2014 ialah sebanyak 2,359 manakala nilai rampasan berjumlah RM13.34 juta.
"Pada tahun 2014, terdapat 16 kes mengenai aksesori telefon dan dua kes mengenai telefon bimbit dengan nilai rampasan RM39,781," katanya.
Rujukan : Astro Awani
No comments:
Post a Comment