Wednesday, 28 February 2018
RM3.2 juta nilai rampasan isu kepenggunaan
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bh.com.my
PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merekodkan 945 kes berkaitan isu kepenggunaan di Sabah sepanjang tahun ini membabitkan RM3.2 juta nilai rampasan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sabah, Yahya Sujak, berkata ia membabitkan pelbagai jenis rampasan dan salah laku dengan kutipan kompaun RM544,000 dan lebih RM314,000 dikenakan oleh mahkamah kepada pihak terbabit.
"Berdasarkan jumlah kompaun dan nilai rampasan direkodkan ia adalah kejayaan terbesar tahun ini dan mahu sokongan serta maklumat orang ramai berkaitannya.
"Pada masa sama, kejayaan ini khususnya mengekang kes penyelewengan minyak masak dicapai hasil kerjasama melalui inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan agensi lain seperti Pasukan Polis Marin, Maritim Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2017 yang disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad Ayid di pasar raya Bataras dekat Bundusan, di sini, hari ini.
Yahya berkata, KPDNKK memerlukan maklumat orang ramai dalam menangani apa juga kes berkaitan kepenggunaan.
Namun meminta pengguna terus melaporkan sesuatu kes secara terus kepada pihaknya supaya tindakan segera dapat diambil.
"Saya meminta masyarakat mengadu terus kepada KPDNKK, jangan viral dulu kerana kalau dah viral, bila kita sampai ke lokasi, bahan bukti sudah diganggu, jadi sukar mendapatkan bukti untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan agensi berkaitan khususnya di Sandakan dan Tawau bagi menangani isu penyelewengan minyak masak.
Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna melaporkan segera kepada KPDNKK jika didatangi individu menawarkan program gores dan menang yang kebanyakannya cuba memperdayakan pengguna.
"Semalam, kami menahan beberapa individu di Papar berkaitan kegiatan gores dan menang. Biasanya syarikat yang menjalankan kegiatan ini adalah dari Semenanjung dan baru bergerak di negeri ini.
"Kita tidak menganggap mereka sebagai sindiket, namun ia perlu ditangani lebih awal bagi mengelak pengguna menjadi mangsa," katanya.
Artikel Sumber :BH Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment